PETALING JAYA – Seorang lelaki ditemui maut di dalam sebuah kereta berkunci di dalam satu kejadian di Jalan PJU 1/39, Dataran Prima di sini petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Ramli Harun berkata, lelaki warga tempatan yang berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.16 petang dan seramai enam anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanyanya di lokasi, didapati lelaki warga tempatan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri namun tiada sebarang tanda-tanda kecederaan di tubuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli menambah, bomba telah menghubungi pihak polis dan ambulans ke lokasi kejadian untuk pengesahan samada mangsa masih hidup atau sudah meinggal dunia.
“Setelah polis dan paramedik sampai, anggota bomba bertugas bertindak membuka pintu kereta di tempat duduk pemandu untuk memberi laluan kepada paramedik bagi mengesahkan kematian mangsa.
“Tubuh mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – K! ONLINE










