Lebih RM40 juta bangun industri pelancongan - Utusan Malaysia

Lebih RM40 juta bangun industri pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 1 Jan. – Terengganu memperuntukkan lebih RM40 juta untuk pembangunan industri pelancongan di seluruh negeri pada tahun ini dalam usaha menarik kira-kira 5 juta pelancong dari dalam dan luar negara yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM8 juta akan dimanfaatkan bagi tujuan promosi.

“Kita akan meningkatkan promosi secara berterusan ke destinasi pelancongan di negeri ini terutama di pulau-pulau seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas yang sering menjadi tumpuan pengunjung asing.

“Selain itu, ada beberapa pelabur yang berminat untuk mendirikan hotel baharu di pulau-pulau dan membina landasan kapal terbang di Pulau Redang dengan anggaran pelaburan RM2.2 billion,” katanya selepas menyantuni pelancong ke Terengganu sempena program Jom Singgah Beautiful Terengganu 2019 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi ll Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ab. Razak Ibrahim dan Pegawai Daerah, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd. Jalil.

Selain di LTSM, program sama turut diadakan di sempadan Terengganu/Kelantan di Bukit Yong, Besut dan sempadan Terengganu/Pahang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Kemaman bagi menyambut kedatangan pelancong ke negeri ini.

Ariffin menarik perhatian, kerajaan negeri akan mengadakan lawatan ke setiap daerah untuk memastikan destinasi pelancongan di kawasan berkenaan turut menjadi tumpuan.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri juga bakal melantik sebuah syarikat pengendali promosi pelancongan menarik Terengganu di seluruh dunia melalui kemudahan internet.

“Tidak ketinggalan kita akan mengadakan hubungan dan kerjasama dengan negeri-negeri jiran di pantai Timur di samping Johor dalam usaha mempromosi destinasi pelancongan negeri masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN