PUTRAJAYA – Kabinet memberi mandat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menggalas tanggungjawab sebagai sekreteriat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara dalam usaha menggerakkan satu kajian komprehensif bagi memperincikan maklumat tentang punca peningkatan kos sara hidup di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kajian itu dijangka akan disiapkan dalam tempoh enam minggu sehingga dua bulan lagi.
“Kabinet memperakui terdapat sekurang-kurangnya enam komponen yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup terutama segmen makanan. Rakyat dilihat terkesan dengan segmen ini. Selain itu segmen perumahan, bil utiliti, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan juga berada dalam komponen sama.
“Justeru, kabinet telah meminta kementerian memulakan satu kajian menyeluruh bagi memperincikan lagi serta mengenal pasti punca-punca yang menyumbang peningkatan kos sara hidup secara lebih komprehensif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2019 di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Saifuddin, kabinet turut memberi komitmen dan tidak akan berkompromi dalam usaha menangani isu-isu kos sara hidup rakyat.
Jelasnya, segmen makanan merupakan penyumbang terbesar dalam peningkatan kos sara hidup iaitu sebanyak 30 peratus selain segmen perumahan, bil utiliti dan pengangkutan.
“Keempat-empat segmen itu menyumbang 70 peratus daripada keseluruhan peningkatan kos sara hidup.
“Oleh itu, kementerian akan memperincikan punca-punca kenaikan harga dalam usaha mengenal pasti lebih mendalam mengenai peningkatan kos sara hidup,” katanya. – K! ONLINE










