KP baharu Imigresen enggan ulas dakwaan kaitan kroni - Utusan Malaysia

KP baharu Imigresen enggan ulas dakwaan kaitan kroni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 14 Jan.- Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu, Datuk Khairul Dzaimee Daud enggan mengulas lanjut berhubung pelantikannya yang didakwa mempunyai kaitan kroni.

Jelas beliau, fokusnya kini untuk menjadikan Jabatan Imigresen sebagai agensi penguatkuasaan terbaik sejajar visi dan misi kerajaan.

“Saya tidak mahu jawab soalan-soalan berkaitan politik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Khairul Dzaimee memaklumkan, sistem operasi imigresen akan dirombak semula secara berperingkat dalam tempoh empat tahun dengan melaksananya secara dalam talian.

Katanya, perkara itu termasuklah berkaitan permohonan visa dan pas lawatan.

“Selain itu, Jabatan Imigresen akan melakukan operasi besar-besaran bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan melibatkan semua agensi kerajaan lain.

“Tekad saya untuk menjadikan Jabatan Imigresen sebagai agensi penguatkuasaan terbaik dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Nama untuk mengisi Ketua Pengarah Jabatan Imigresen bertukar lagi dalam tempoh tidak sampai dua minggu apabila semalam nama Khairul Dzaimee diumumkan mengetuai agensi penguatkuasaan itu

Sebelum ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon dilaporkan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu susulan rombakan besar-besaran jawatan tinggi kerajaan pada awal bulan ini.

Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen kosong kerana penyandangnya sebelum ini, Datuk Seri Mustafar Ali telah dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC)  berkuat kuasa 2 Januari lalu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN