KUALA LUMPUR – Tahun 2018 menjadi tahun cemerlang bagi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kerana berjaya menganjurkan 1,485 acara.
Program tersebut telah melibatkan sebanyak 2.18 juta peserta dengan kenaikan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengurus Besar KLCC, Alan Pryor berkata, peningkatan ini memberi kesan kepada pendapatan negara dengan penjanaan sebanyak RM888 juta, pertumbuhan sebanyak 80 peratus berbanding tahun 2017.
Menurut beliau, segmen perniagaan merupakan penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat yang mana ia mewakili mesyuarat persatuan diikuti dengan mesyuarat korporat serta acara jamuan dan segmen pameran.
“Kami gembira dengan prestasi yang dicatat pada tahun lepas hasil daripada kerja keras pasukan yang berpengalaman dan berdedikasi.
“Tahun 2018 merupakan tahun yang agak sibuk bagi kami dari segi perhubungan industri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Antara majlis yang dianjurkan di KLCC ialah program pendidikan pelanggan, Kuala Lumpur Convention Centre Business Events Alliance (KLCCBEA).
“Kami juga memainkan peranan penting dalam penganjuran Majlis Acara Perniagaan Malaysia, sebuah majlis kebangsaan yang menjadi suara rasmi industri acara perniagaan Malaysia dan penganjuran program Pertukaran Ilmu PCMA-ICESAP 2018 serta Sidang Meja Bulat UIA (Kesatuan Persatuan Antarabangsa) 2018,” terangnya.











