Kit Siang takut UMNO bertanding di Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Kit Siang takut UMNO bertanding di Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAPA pemimpin DAP, Lim Kit Siang awal-awal menyerang UMNO yang belum lagi mengumumkan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands. Tentu ada sebabnya.

Sebabnya adalah mudah kerana Kit Siang takut menjejaskan peluang DAP untuk memenangi kerusi berkenaan.

Jadi bagi menghalang langkah UMNO Kit Siang awal-awal lagi telah menghasut MIC supaya keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan sekali gus memecah undi yang sebelum ini diberikan kepada calon parti berkenaan.

UMNO memang tidak bertanding di kerusi berkenaan sejak sekian lama, tetapi bacaan politik semasa menunjuk kelebihan kepada UMNO.

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam 

Ini adalah kerana menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, Kit Siang tahu jika UMNO bertanding di Cameron, parti itu berupaya mendapat undi daripada penyokong dan ahli Pas sekitar 3,500 orang.

Dalam masa yang sama, sokongan masyarakat Melayu dan India dijangka meningkat dengan drastik di samping adalah tidak mustahil juga pengundi Cina yang kecewa dengan kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) akan menghukum DAP kali ini dengan tidak keluar mengundi.

Sedangkan memang UMNO tidak pernah meminta untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highland, dan disahkan sendiri oleh Presiden, MIC S Vigneswaran hari ini.

Ia sekali gus menafikan spekulasi bahawa parti utama Barisan Nasional (BN) itu akan mengambil alih kerusi tradisi milik MIC itu dan parti kaum India itu juga tidak berhasrat memberikan kerusi Parlimen di Pahang itu kepada UMNO.

Orang Melayu keseluruhan memang kecewa cara kerajaan hari ini mengendalikan isu dan pentadbiran negara terutama membabitkan kepentingan Islam dan kaum Melayu.

Apatah lagi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui DAP membuat semua keputusan di dalam pentadbiran, ini menambah lagi rasa kecewa orang Melayu.

Jika pada PRK Port Dickson lalu calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum sidang akhbar selepas diumumkan menang dengan majoriti besar, sempat mengeluh benar-benar keletihan kerana terpaksa bertungkus-lumus berkempen siang dan malam berkempen. Itu ketika rakyat masih lagi dalam mood berbulan madu meraikan kemenangan tumbangnya 60 tahun kerajaan Barisan Nasional.

Hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands ditetapkan pada 26 Januari ini dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pula pada 22 Januari, kita lihat apakah cuaca dingin akan kekal dingin, atau menjadi panas dek pilihan raya kecil walaupun tidak menjejaskan kerajaan tetapi bakal mencalar rasa ego pemimpin PH. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN