Kesan kecanduan internet, ketagihan telefon pintar - Utusan Malaysia

Kesan kecanduan internet, ketagihan telefon pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Statistik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2016 mendapati bahawa dalam kalangan semua responden, pelajar menghabiskan masa paling lama dalam talian iaitu pada purata 21 jam seminggu. Statistik ini turut disokong oleh Kajian Kesihatan Morbiditi Kesihatan Negara 2017, enam daripada tujuh remaja sekolah berumur 13 hingga 17 tahun adalah pengguna aktif internet. Apa yang lebih membimbangkan ialah dua daripada tujuh remaja sekolah ini mengalami kecanduan internet dan 94 peratus daripada mereka menggunakan telefon pintar bagi tujuan tersebut.

Ketagihan telefon pintar dan kecanduan internet bertindan-tindih antara satu sama lain. Antara simptom-ketagihan telefon pintar adalah kurang upaya mengawal penggunaan yang berterusan, meng­gunakan telefon pintar lebih lama daripada tempoh yang dijangkakan, rasa gelisah dan tidak selesa jika tidak menggunakan telefon pintar dan gagal dalam usaha mengurangkan penggunaannya.

Simptom-simptom ini seterusnya boleh merencatkan fungsi hidup seseorang. Kesan ketagihan telefon pintar ini boleh dilihat apabila seseorang berterusan menggunakannya tanpa mengendahkan kesan buruk yang dialami oleh tubuh badan dan psikologi. Contohnya, penggunaan dalam situasi berbahaya seperti semasa memandu atau menyeberang jalan dan penggunaan telefon pintar yang mengurangkan interaksi sosial di sekolah, tempat kerja, mahupun di rumah.

Kajian yang dijalankan sebelum ini mengesahkan keta­gihan telefon pintar boleh membawa kepada sakit kepala, sakit belakang dan ketegangan mata. Di samping itu, terdapat hubungan antara kebimbangan dan kemurungan ekoran menyemak mesej-mesej, melayari rangkaian sosial, bermain permainan internet, dan melihat klip video secara berlebihan. Semua aktiviti ini boleh diakses menerusi telefon pintar.

Terma-terma baharu seperti ringxiety (aduan mengenai masalah terhadap deringan telefon), Nomophobia atau no mobile phone phobia (Fobia tiada telefon bimbit), dan FoMo atau fear of missing out (Ketakutan merasa terputus daripada dunia) mula muncul dan sangat berkait rapat dengan penggunaan telefon pintar yang berlebihan.

Kajian melaporkan bahawa penggunaan internet yang berlebihan boleh menjejaskan kualiti tidur kanak-kanak dan remaja. Perkara ini disebabkan berlaku pertukaran tempat antara waktu tidur yang telah ditetapkan dengan penggunaan berterusan telefon pintar mahupun teknologi-teknologi lain. Dalam kata lain, aktiviti tidur yang berjadual telah diganti dengan penggunaan telefon pintar yang berterusan. Kajian juga menunjukkan remaja yang mengalami tidur terganggu lebih berisiko untuk mengalami masalah kesihatan mental, berat badan berlebihan, dan penurunan prestasi akademik.

INFO

Dr. Michael Ungar, seorang Profesor Kerja Sosial dan penulis buku terkenal Nurturing Resilience menyarankan empat strategi utama dalam menangani masalah ketagihan telefon pintar.

1. Kerjasama daripada syarikat pengeluar telefon pintar dalam membina sistem operasi yang lebih berkesan iaitu mengunci telefon pintar selepas ditetapkan had penggunaannya (beberapa jam bagi setiap hari) kecuali untuk teks masuk, keluar atau panggilan dengan penjaga.

2. Kerajaan dan komuniti setempat berganding bahu dalam menyediakan ruang dan aktiviti untuk para remaja berinteraksi sesama mereka, mengambil bahagian dalam aktiviti kesenian dan sukan dan mempunyai ruang yang selamat selepas mereka habis waktu persekolahan.

3. Sekatan terhadap penggunaan telefon pintar di sekolah sama ada untuk tujuan pembelajaran mahupun komunikasi di antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga mereka.

4. Meletakkan telefon pintar di tempat yang jauh dari tempat kelu­arga berkumpul sejurus pulang ke rumah selepas kerja dan membataskan penggunaan telefon pintar ketika di rumah walaupun atas urusan membalas mesej.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN