KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) menerusi program kesetiaannya, Enrich bekerjasama dengan Chatime Malaysia Sdn. Bhd. (Chatime Malaysia) dalam menyediakan manfaat eksklusif kepada ahlinya sepanjang tahun.
Ketua Pengalaman Pelanggan MAS, Lau Yin May berkata, melalui kerjasama tersebut, semua ahli Enrich berpeluang menaik taraf saiz minuman Chatime mereka secara percuma di semua cawangan Chatime yang mengambil bahagian.
Menurut beliau, MAS mengalu-alukan jenama teh bubble global tersebut dalam menawarkan sesuatu yang baharu kepada program manfaat ahli Enrich.
“Mereka hanya perlu menunjukkan kad fizikal atau digital Enrich ketika membuat pembelian bagi menikmati ganjaran ini.
“Selain daripada Chatime, kami juga berhasrat untuk mengintai peluang kerjasama dengan lebih banyak jenama makanan dan minuman dalam mempelbagaikan penawaran program ganjaran Enrich kepada ahli,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Selain itu, Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali menerangkan, kerjasama pertama seumpamanya antara jenama teh bubble dengan program kesetiaan syarikat penerbangan itu membuktikan komitmen syarikat dalam meningkatkan pengalaman para pelanggannya.
“Selain itu, menerusi usaha sama ini, kami yakin mampu meningkatkan jumlah pelanggan Chatime serta dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Ia juga merupakan permulaan bagi pelbagai siri program dan aktiviti yang akan dijalankan antara Chatime dan Enrich.
“Kami bakal menawarkan banyak lagi ganjaran istimewa menerusi sinergi ini dan ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Bagi mendapatkan kad digital Enrich, orang ramai boleh memuat turun aplikasi mudah alih Malaysia Airlines di App Store atau Google Play Store.










