KOTA BHARU 25 Jan. – Kerajaan Pas Kelantan menyambut baik keputusan Kerajaan Malaysia dan Thailand yang mahu mempercepatkan pembinaan Jambatan Persahabatan antara Malaysia dan Thailand.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pembinaan dua jambatan antara Tak Bai dan Pengkalan Kubor serta Sungai Golok dan Rantau Panjang itu adalah sangat penting bagi merapatkan hubungan antara dua negara.
Beliau berkata, ia juga bakal membawa pembangunan kepada daerah Tumpat sekali gus membuka peluang besar kepada rakyat sama ada sudut pekerjaan mahupun perniagaan.
“Pembinaan jambatan ini adalah sangat baik, kita dahulu juga pernah merancang pembangunan di kawasan Pengkalan Kubor dengan pihak swasta tetapi bila mereka tidak mampu kita tidak boleh buat apa.
“Kalau ada pembinaan jambatan dan pembangunan sekitar, kita akan bincang semula sama ada melibatkan tanah negeri atau persekutuan, yang penting kita mesti bangunkan kawasan sebelah negara kita,” katanya selepas menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand dilaporkan berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Kelantan dengan Narathiwat; iaitu Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor dan Sungai Golok-Rantau Panjang.
Menurut Wan Azizah, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersama bagi membincangkan dengan lebih terperinci cadangan pembinaan Jambatan Persahabatan antara Malaysia dan Thailand akan diadakan di Kuala Lumpur pada Mac ini. – UTUSAN ONLINE










