MANILA 25 Jan. – Undian terhadap Undang-undang Organik Bangsamoro (BOL) yang diumumkan hari ini menyaksikan penduduk di selatan Filipina menyokong penuh kepada proses meluaskan kuasa autonomi wilayah itu selain menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).
Sokongan tersebut diharapkan dapat membawa keamanan di wilayah itu selepas berdepan pertempuran yang membunuh beribu nyawa berdekad lamanya serta keluar daripada kepompong kemiskinan.
Keputusan itu juga bakal memperlihatkan berakhirnya perjuangan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan mendapat sokongan Presiden Rodrigo Duterte.
Kira-kira 150,000 terbunuh dalam pemberontakan yang bermula sejak 1970-an bagi mendesak kerajaan memberikan kemerdekaan kepada penduduk minoriti Islam yang tertumpu di Mindanao.
Di bawah BOL, Bangsamoro akan mempunyai Parlimen sendiri, sistem kehakiman undang-undang Islam, 75 peratus hasil tempatan dan geran tahunan daripada kerajaan Pusat iaitu bersamaan dengan lima peratus nilai keseluruhan keuntungan negara.
Namun Manila masih mengawal dalam sektor pertahanan.
ARMM juga akan digantikan selepas dikritik gagal menamatkan konflik keganasan.
“Kami sangat gembira dengan sokongan rakyat. Referendum itu mendapat sokongan penuh,” kata pemimpin MILF, Murad Ebrahim.
Menurut keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina, sebanyak 1.7 juta pengundi menyokong referendum tersebut manakala 254,600 membantah.
Seramai enam juta penduduk Moro tinggal di negara ini dan disifatkan sebagai minoriti dalam kalangan populasi Filipina yang mencecah lebih 100 juta orang.
Sejarah prejudis dan kurang peduli oleh kerajaan menjadikan tanah air Moro sebagai wilayah termiskin. – AFP










