GOMBAK – Kematian dua lelaki warga asing yang masing-masing ditemui di jalan utama Hulu Yam menghala ke Batu Caves, Gombak dan di bawah jejambat di Jalan Yew di sini pada Ahad lalu adalah disebabkan pelbagai kecederaan pada tisu lembut badannya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, bedah siasat terhadap mayat seorang lelaki warga asing yang ditemui dengan keadaan tangan dan kaki diikat di jalan utama Hulu Yam telah dijalankan oleh Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur.
“Hasil bedah siasat, pihak perubatan menemui beberapa kesan kecederaan yang dialami mangsa seperti dua anak jari kaki kanan dan satu anak jari kaki kirinya telah dipotong.
“Pihak forensik turut menemui kesan kecederaan pada kedua-dua belah lengan kiri dan kanan termasuk bahagian perut mangsa dipercayai kesan bara akibat objek panas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Samsor Maarof lagi, mangsa turut mempunyai kesan kecederaan pada kedua-dua tapak kaki akibat dipukul objek tumpul selain kesan jerut pada kedua-dua belah pergelangan kaki dan tangan mangsa.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan termasuk mengenal pasti identiti suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya turut mengesahkan punca kematian mayat yang ditemui di bawah jejambat di Jalan Yew adalah sama seperti mayat di Hulu Yam.
Kosmo! hari ini melaporkan, penemuan mayat dua lelaki warga asing di dua lokasi berasingan pada Ahad lalu disahkan saling mengenali antara satu sama lain. – K! ONLINE










