MERBOK 26 Jan. – Masalah gangguan air bersih oleh lebih 16,000 orang penduduk di beberapa kawasan di Parlimen Merbok sejak seminggu lalu kerana penyusutan bekalan sumber itu, bakal berterusan sehingga Mei depan berikutan kedatangan musim kemarau.
Pada masa ini, bekalan air di kawasan tadahan Loji Headwork Tupah dekat sini telah mencatatkan penyusutan daripada 18 juta liter sehari (MLd) kepada 15 MLd.
Pengurus Kanan Wilayah Tengah Syarikat Air Darul Aman (SADA), Hizaruddin Razak berkata, bagi mengatasi masalah itu, pihaknya melaksanakan beberapa inisiatif iaitu dengan mengagihkan bekalan dari Loji Rawatan Air Sungai Petani kepada para penduduk terlibat.
Katanya, langkah itu bagi mengurangkan kebergantungan air kepada Loji Headwork Tupah.
“Kerja-kerja dilakukan oleh SADA dengan menyediakan bekalan air melalui 10 buah lori tangki khususnya di kawasan Tanjung Dawai.
“Penghantaran bekalan air bersih ke rumah penduduk dilakukan bermula pukul 9 pagi sehingga pukul 12 tengah malam, yang sedikit sebanyak dapat membantu penduduk,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat (PKR) Laguna Merbok di sini, semalam.
Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip pula berharap masalah itu diselesaikan segera kerana telah menjejaskan kehidupan harian penduduk.
“Isu yang berlaku di sini pernah membelenggu penduduk 10 tahun lalu dan kini berulang. Lebih membimbangkan apabila tibanya musim kemarau,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini Projek Pembinaan Loji Simpanan Air di Sungai Merbok dan Projek Membaik Pulih Menara Tangki Air dan Penggantian Paip Usang di kawasan Merbok serta Tanjung Dawai yang membabitkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM69 juta berada pada peringkat mendapatkan butiran perbelanjaan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
“Projek Menaik taraf Loji Rawatan Air Bukit Selambau yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pula sedang dalam menunggu kelulusan proses tender.
“Bila kedua-dua projek ini dilaksanakan, ia mampu untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Parlimen Merbok untuk tempoh jangka masa panjang dan penduduk boleh mendapat bekalan air terawat secara lebih sempurna,” katanya lagi.
Dalam pada itu, mana-mana penduduk yang mempunyai masalah air di kawasan Parlimen Merbok boleh menyalurkan aduan mengenai masalah air itu ke Pusat Khidmat Parlimen Merbok melalui talian 013-4230509 atau hubungi talian hotline SADA di 1300880017 atau Bilik Gerakan SADA Wilayah Tengah, Sungai Petani di talian 04-4216798. – UTUSAN ONLINE











