PASIR MAS 4 Jan. – Kegembiraan tiga beradik yang baharu sahaja memulakan sesi persekolahan 2019 pada Selasa lalu bertukar duka apabila rumah mereka di Kampung Lemal, belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini terbakar semalam.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, Fatin Aina Syazwani Majid, 16; Nurin Emiliyana Tasha, 12; dan Mohd Zarif Darwish, 6, tidak dapat menyelamatkan barangan sekolah mereka kerana api marak dengan begitu cepat.
Nurin Emiliyana Tasha berkata, ketika kejadian dia sedang menikmati hidangan tengah hari selepas pulang dari sekolah.
Menurutnya, ketika sedang menjamah hidangan dia dikejutkan dengan jeritan ibunya yang memberitahu api sedang marak membakar rumah mereka.
“Ketika itu kakak mandi dan adik pula ( Mohd. Zarif Darwish bermain di ruang tamu.
“Sementara ibu sedang tidur di dalam bilik. Terkejut dengan kejadian itu kami semua terus berlari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nurin Emiliyana Tasha memberitahu, sungguhpun sedih dengan kejadian itu, namun dia gembira kerana semua ahli keluarga terselamat. – UTUSAN ONLINE










