Apakah hadis yang menyatakan bahawa, ‘membaca surah Yasin pada malam Jumaat akan diampunkan dosa pembacanya’ adalah hadis sahih?
Jawapan: Menjadi amalan sebahagian besar masyarakat Islam di negara ini dan Nusantara untuk membaca surah Yasin pada Khamis malam Jumaat. Ada diriwayatkan beberapa hadis dalam perkara ini.
Walau bagaimanapun, setakat pengetahuan saya, hadis tentang ‘membaca surah Yaasin pada malam Jumaat akan diampunkan dosa bagi pembacanya’ bukanlah hadis yang kuat atau dalam istilah lain, tidak sahih.
Walau bagaimanapun, membaca surah Yasin adalah amalan mulia kerana ia adalah ayat-ayat al-Quran. Membaca satu huruf ayat al-Quran akan diberi ganjaran 10 pahala.
Ada dua sikap golongan umat Islam yang agak ekstrem pada pandangan saya:
1 Terlalu mengutamakan bacaan surah Yasin pada setiap malam Jumaat.
* Bagi golongan ini, tidak boleh membaca surah lain termasuk surah al-Kahfi yang jelas disebut dalam hadis. Juga tidak boleh diberi laluan kepada penganjuran majlis ilmu. Sikap ini wajar diubah.
Amalan membaca surah Yasin adalah sebagai aktiviti dan pengisian antara waktu maghrib sehingga isyak. Oleh itu, tidak sewajarnya diyakini bahawa wajib membaca surah Yasin pada setiap malam Jumaat.
2 Menentang amalan membaca surah Yasin malam Jumaat
* Golongan ini menggunakan hujah tiada hadis sahih membaca surah Yasin pada malam Jumaat. Sikap ini juga wajar diubah.
Membaca Yasin adalah sebahagian daripada amalan membaca al-Quran. Pada masa sama tidak seharusnya digunakan hadis-hadis palsu dan dhaif (lemah) dalam mempromosi sesuatu amalan.










