Kedah naikkan had kerja undi penyelengaraan jalan kepada RM150,000 - Utusan Malaysia

Kedah naikkan had kerja undi penyelengaraan jalan kepada RM150,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 14 Jan. – Kerajaan negeri mengambil inisiatif menaikkan had kerja undi kepada RM150,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan kepada kontraktor-kontraktor kelas G1 bermula tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, inisiatif itu ditawarkan untuk memberi peluang yang lebih besar kepada kontraktor kelas tersebut, selain dapat meningkatkan kualiti penyelenggaraan jalan di seluruh negeri ini.

Kata beliau, berbanding sebelum ini, had kerja undi adalah daripada RM20,000 sehingga RM50,000 bagi satu kerja yang ditawarkan.

“Kerajaan negeri komited memastikan rangkaian jalan raya di Kedah berada dalam keadaan baik bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna di samping merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam Majlis Taklimat Bagi Kerja Undi Negeri Kedah Bersama Kontraktor G1 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri, Ir. Zamri Yusof dan Pegawai Kewangan negeri, Isahak Murat.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk memberi peluang kepada seramai mungkin kontraktor-kontraktor tempatan khususnya kelas G1 untuk turut serta dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan melalui kaedah perolehan undi.

“Antara skop kerja-kerja kecil menyelenggara jalan adalah seperti mengecat garisan jalan, menggantikan perabot jalan dan menyelenggara longkang.

“Kerja-kerja ini secara tidak langsung membuka peluang kepada kontraktor-kontraktor tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja kecil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN