ALOR SETAR 22 Jan. – Kerajaan negeri mengesan lebih 100 hektar tanah pertanian di negeri ini yang ditanam pokok ketum secara ladang sehingga menyumbang kepada peningkatan drastik rampasan cecair serta daun daripada pokok terbabit tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang memandang serius perkara itu berkata, sebanyak 80 hektar tanah pertanian dikenal pasti di salah gunakan untuk tujuan tersebut di Padang Terap diikuti 22 hektar lagi di Kubang Pasu dan masing-masing sembilan dan tiga hektar di Yan dan Sik serta daerah-daerah lain.
Menurut beliau, berdasarkan statistik rampasan dan serbuan yang diperoleh sehingga Ogos tahun lalu turut menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda iaitu sebanyak 233,526 liter cecair ketum telah dirampas pihak berkuasa berbanding 89,060 liter pada 2017.
“Bagi daun ketum pula, sebanyak 87,564 kilogram dirampas dalam tempoh sama berbanding 81,028 kilogram pada dua tahun lalu.
“Melihat kepada angka yang membimbangkan ini, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan tindakan merampas tanah-tanah pertanian di negeri ini sekiranya aktiviti menanam ketum secara ladang masih berleluasa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.
Tambah Mukhriz, Kedah bercadang untuk menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kanun Tanah Negara (KTN) berkaitan pelanggaran syarat tanah pertanian bagi mengekang aktiviti penanaman tersebut, selain membawa pihak terlibat ke muka pengadilan jika mereka masih berdegil.
Ujar beliau, perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat kerajaan negeri esok bagi mendapatkan kelulusan rasmi mengenai penggunaan KTN yang bertujuan membanteras aktiviti tersebut.
“Pada peringkat awal, tindakan ini akan lebih fokus kepada penanaman pokok ketum secara ladang di seluruh negeri ini. Namun, sebelum tindakan merampas tanah diambil, kita akan memberi dua kali amaran kepada pengusaha untuk menghapuskan penanaman ketum di ladang mereka atau kita sendiri yang mengambil tindakan tersebut sebelum merampas tanah kerana melanggar syarat tanah pertanian,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Mukhriz berkata, pihak yang mendapat kebenaran Menteri Kesihatan untuk menanam pokok ketum bagi tujuan perubatan boleh melakukan aktiviti tersebut secara terkawal.
“Tetapi, saya tidak fikir kelulusan mudah akan diberikan oleh Menteri Kesihatan kerana apa jua alasan, kita tidak boleh pertimbangkan sebagai contoh kononnya ada perkara-perkara positif terhadap penggunaan ketum yang hanya kira-kira lima peratus sehinggakan mengenepikan faktor 95 peratus yang merosakkan masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










