Kecederaan Sanchez gusar United - Utusan Malaysia

Kecederaan Sanchez gusar United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 6 Jan. – Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berharap Alexis Sanchez sempat pulih daripada kecederaan paha menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham, minggu depan.

Semalam, United meraih kemenangan kelima sejak ketibaan Solskjaer menerusi jaringan Juan Mata dan Romelu Lukaku yang menyaksikan mereka melangkah ke pusingan keempat Piala FA selepas menundukkan Reading 2-0.

Kemenangan itu menyaksikan Sanchez terpaksa dibawa keluar ketika perlawanan berbaki 25 minit akibat kecederaan paha. Namun, Solskjaer yakin bintang Chile itu mampu diturunkan dalam aksi di Stadium Wembley, minggu depan.

“Saya harap ia tidak begitu teruk. Ia kecederaan paha yang dialami sebelum ini, tetapi kami perlu melihat dulu. Harap dia cergas minggu depan,” katanya.

United dilihat bergelut untuk mengatasi Reading, tetapi Solskjaer bertanggungjawab di atas persembahan longlai pasukannya apabila berkata, keputusannya melakukan banyak pertukaran menjadi satu kesilapan.

“Saya harus katakan lawan memberi saingan sengit dan saya menjadikan ia sukar buat kami. Anda tahu apabila sembilan pertukaran dilakukan, sukar untuk pasukan beraksi bersama. Kami banyak belajar setiap hari. Kami tahu perlu melakukan beberapa usaha untuk kecergasan, tetapi saya meletakkan pasukan yang tidak pernah beraksi bersama.

“Kami melangkah ke pusingan seterusnya dan ia bagus, tetapi banyak perkara perlu diperbaiki. Kami sedar jika persembahan sama ditampilkan di Wembley ketika berdepan Spurs, minggu depan, kami akan dibolosi dan gagal meraih mata,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN