Kebangkitan semula 
Johan As’ari - Utusan Malaysia

Kebangkitan semula 
Johan As’ari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bak kata pepatah Melayu, `harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’. 

Demikian yang boleh digambarkan dengan kehidupan pelakon  Johan As’ari. Mengakui hidupnya seperti sebuah roller coaster yang ada turun dan naiknya, Johan menjadikan setiap yang berlaku dua tahun kebelakangan ini sebagai satu pengajaran terbaik.

Kehilangan ibu tersayang pada 2015 menjadikan dia hilang arah seketika. 

Kata Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As’ari, 32, pelbagai cara dilakukan untuk mengembalikan semangatnya, namun tidak berjaya. Dia pernah mengembara ke India untuk belajar agama, menyibukkan diri dengan kerjaya dan berpura-pura hidup seperti tiada apa yang berlaku.

Bagaimanapun dia ‘kalah’ kerana hakikatnya kesedihan tersebut memberi impak yang sangat besar dalam hidupnya. 

Situasi ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya ke manakah Johan As’ari? Namanya seperti tenggelam timbul bagai tiada arah lagi.

Dua tahun yang sukar

Johan akui 2016 dan 2017 adalah saat-saat sukar dalam kehidupan peribadi mahupun kerjayanya. 

Malah graf kerjayanya jatuh merudum seolah-olah hilang dari kanvas seni. 

“Semenjak kehilangan ibu, ramai yang tidak tahu saya hilang arah dan keliru hala tuju. Selama dua tahun saya cuba mencari kekuatan diri dan berpura-pura gembira sedangkan jauh di lubuk hati saya masih bersedih. 

“Jiwa saya jadi lemah dan tidak bermaya walaupun luarannya nampak seperti tiada masalah.

Memang ramai yang cakap kena reda dan terima kenyataan, tapi tidak semudah itu. 

“Disebabkan itu, saya akui kerjaya saya jatuh merudum selama dua tahun. Fikiran dan jiwa yang terganggu menyebabkan saya pernah dimarah oleh pengarah ketika penggambaran kerana gagal menjiwai watak. Saya juga pernah digugurkan  daripada sebuah siri drama kerana dikatakan hilang logik dalam penyampaian. 

“Bukan itu sahaja, saya lebih selesa untuk bersendirian dan tidak bersemangat untuk menghadiri apa sahaja majlis yang sepatutnya saya hadir. Situasi ini menyebabkan saya jauh daripada media serta peminat secara perlahan-lahan tanpa disedari,” luah Johan.   

Pengalaman manis bersama arwah ibu antara pemangkin untuknya terus aktif dalam kerjaya.

“Saya masih ingat semasa hayat ibu masih ada, apa sahaja yang saya buat pasti akan dikongsi dengannya. Tiada rahsia. Malah, kawan-kawan saya juga sudah menjadi kawan ibu. 

“Ibu membuatkan saya bersemangat menjalani kehidupan seharian. Saya tidak pernah ada masalah di lokasi penggambaran dan sentiasa memberikan yang terbaik sehingga peristiwa sedih itu berlaku. 

“Apa-apa pun kehidupan perlu diteruskan. Tahun lepas saya mula membuka mata dan betul-betul menerima hakikat pemergian ibu. Saya mula bangkit dan kembali aktif walaupun tidak sepenuhnya. 

“Alhamdulillah, 2019 adalah masa untuk saya kembali  dan tidak menoleh ke belakang lagi. 

“Saya minta maaf kepada semua yang cuba untuk bekerjasama dengan saya tetapi tidak berjaya.

Selepas ini saya cuba memberikan komitmen yang bagus dan memuaskan hati semua pihak,” katanya bersemangat.

Tiada penyesalan

Ramai yang menganggap dua tahun ‘kejatuhan’ Johan dalam bidang lakonan seolah-olah suatu pembaziran masa dan sia-sia. Pada saat pelakon lain bertungkus-lumus membina nama, saat itu pula karier Johan ‘jatuh’.

“Saya sedar ramai yang beranggapan sebegitu. Apa pun saya tidak menyesal hilang arah selama dua tahun kerana situasi ini berlaku disebabkan saya kehilangan satu-satunya ibu. Saya tidak anggap ia satu pembaziran perasaan atau masa kerana yang hilang adalah ibu. 

“Dalam masa yang sama saya yakin apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya menjadi lebih matang berhadapan dengan apa jua situasi dan menghargai orang sekeliling. Hargailah insan yang sentiasa ada untuk kita. Jangan sampai menyesal apabila mereka telah tiada,” kata Johan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×