PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Peguam Negara untuk memperhalusi cadangan pindaan atau pemansuhan enam undang-undang sebelum diluluskan di peringkat pengubalan undang-undang.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akta yang sedang dikaji adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Menurutnya, pindaan atau pemansuhan akta-akta itu dibuat kerana kerajaan perlu menggubal undang-undang berkaitan keselamatan yang dapat mengimbangi keperluan menjaga keselamatan negara dengan berkesan disamping memelihara hak kebebasan asasi seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Sebelum ia dibawa ke dalam sidang Parlimen, kita perlu bincang lebih lanjut bersama Jabatan Peguam Negara dan kemukakan ke Jemaah Menteri terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, status SOSMA masih lagi dalam perbincangan secara menyeluruh dengan pemegang taruh dan badan bukan kerajaan termasuk Majlis Peguam.
“Beri kami sedikit masa untuk menentukan status akta itu. Pegawai kementerian akan memberi taklimat penuh kepada saya mengenai SOSMA dan akta lain hari ini.
“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk melihat akta ini dan mendapat pandangan dari Jabatan Peguam Negara sebelum saya mengemukakannya kepada kabinet untuk proses seterusnya,” katanya. – K! ONLINE










