Kastam rampas rokok, chewing tobacco lebih RM8 juta - Utusan Malaysia

Kastam rampas rokok, chewing tobacco lebih RM8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 9.7 juta batang rokok putih dan 7.5 tan ‘chewing tobacco’ bernilai lebih RM8 juta termasuk cukai.

Kesemua barangan itu dirampas dalam dua serbuan di di Lapangan Pemeriksaan Kontena Penguatkuasaan, Pelabuhan Utara dan Meru, Klang pada 2 dan 4 Januari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, dalam serbuan pertama di Pelabuhan Utara, pihaknya berjaya merampas rokok putih jenama Canyon dan John D-Blend selepas melakukan pemeriksaan di dalam sebuah kontena sepanjang 40 kaki.

Beliau berkata, pada awalnya kontena tersebut diikrarkan membawa barangan aksesori seperti sarung tangan, aksesori telefon dan peralatan memasak.

“Hasil pemeriksaan di dalam kontena tersebut telah menemui kira-kira 9.7 juta rokok putih bernilai kira-kira RM776,000 dengan jumlah cukai RM6.48 juta.

“Selain merampas rokok putih berkenaan, pihak kita turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun yang merupakan ejen penghantaran bagi kontena terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Wisma JKDM Selangor di Pulau Indah di sini hari ini. 

Subromaniam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (g) (v) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan rokok mengandungi tembakau atau liqour iaitu memabukkan yang merupakan barangan larangan.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada 2 Januari lalu di sebuah kawasan perindustrian di Meru di sini, pihaknya telah berjaya merampas kira-kira 7.5 tan ‘chewing tobacco bernilai RM823,200 termasuk cukai.

Katanya, kesemua barangan tersebut disembunyikan di bahagian bawah dan atas premis berkenaan.

“Pasukan serbuan kita turut merampas sebuah mesin yang dipercayai digunakan untuk membungkus ‘chewing tobacco’ terbabit. Turut ditahan seorang lelaki warga India dan tiga  warga Pakistan berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun.

“Kita percaya kesemua barangan ini untuk pasaran tempatan khususnya kepada pekerja asing sekitar Lembah Klang,”ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) (iii) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barangan larangan selain daripada rokok yang mengandungi tembakau atau liquor yang memabukkan.

Selain itu, kedua-dua kes turut disiasat mengikut Seksyen 74 (1) (a) (i) (A) Akta Eksais 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda amuan duti eksais dan tidak lebih dari 20 kali ganda amuan duti eksais atau RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya skali. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN