BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KJDM) membuat pemeriksaan lebih teliti bagi memastikan setiap kontena yang membawa sisa plastik yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi prosedur serta peraturan baru berkaitan sisa plastik yang ditetapkan kementerian.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT akan memberikan taklimat dan meningkatkan aspek pengenalan bahan plastik kepada pihak JKDM bagi membolehkan mereka mengenal pasti sisa plastik yang diimport masuk.
“KPKT melaksanakan beberapa syarat dan peraturan baru berhubung import sisa plastik, jadi saya mahu pihak JKDM membuat pemeriksaan lebih teliti selepas ini bagi memastikan pengimport mematuhi syarat ditetapkan.
“Macam siasatan kami dalam kes penemuan 175 kontena penuh berisi dengan bahan buangan plastik yang tidak diisytihar dan tidak mendapat permit import (AP) KPKT tersangkut di Terminal Kontena, Pelabuhan Pulau Pinang pada November lepas, yang mendapati pengimport tidak bertanggungjawab membuat deklarasi palsu berhubung bahan yang dibawa masuk bagi mengelak ia ditahan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke pusat pemporsesan sisa plastik di UDA Materials Sdn Bhd di sini, hari ini.
Katanya, semua kontena yang masih belum dituntut itu kini terkandas di situ dan pihaknya mengambil tindakan penguatkuasaan,l di mana kontena itu akan dihantar kembali ke negara asal. – K! ONLINE










