Kartun dari 35 negara dipamer di Kota Bharu - Utusan Malaysia

Kartun dari 35 negara dipamer di Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 26 Jan. – Pameran Kartun Antarabangsa yang diadakan di Balai Kartun Rossem (BKR) di Peringat, di sini berjaya menarik penyertaan 150 kartunis dari 35 negara termasuk dari Eropah, Timur Tengah dan negara-negara Asia seperti China.

Pameran kartun itu merupakan ilham dan anjuran tokoh kartunis, Rosidi Semail, 70, atau lebih dikenali dengan nama Rossem dan setakat ini, sebanyak 400 karya dipamerkan secara percuma untuk tatapan pengunjung.

Turut menyertai pameran yang berlangsung selama dua bulan sejak 20 Januari lalu ialah kartunis tersohor negara, Datuk Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohamad Noor Khalid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Rossem, pameran itu dianjurkan bertujuan memartabatkan karya kartun sebagai perantara yang mempunyai falsafah dalam menyampaikan pelbagai mesej kemanusiaan di seluruh dunia.

“Karya kartun juga mampu menjadi pentas penyatuan dan menyuntik kesedaran melalui perkongsian rasa atau maklum balas yang dizahirkan secara simbolik di atas sekeping kanvas oleh kartunis,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian pameran itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin di BKR, Peringat, di sini hari ini.

Sementara itu, Radzi berkata, beliau kagum melihat sebanyak 400 lukisan kartun bertemakan kemanusiaan yang dipamerkan dalam pameran itu.

“Industri kartun juga memainkan peranan positif kepada pembangunan negara. Saya juga melihat pameran ini satu inisiatif yang amat baik, lebih-lebih lagi apabila peserta dari 35 negara menyertainya.

“Kemudahan sedia ada di BKR ini perlu ditambah baik dan kita akan berhubung dengan beberapa kementerian lain bagaimana boleh membantu memajukan BKR,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×