Karak kumpul 50 peminat ayam ratu - Utusan Malaysia

Karak kumpul 50 peminat ayam ratu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Kelab Ayam Ratu Kelantan (Karak) berjaya mengumpulkan 50 peminat ‘ayam ratu’ dari seluruh negeri ini dalam Pertandingan Ayam Ratu Tertutup Kelantan 2019 di sini hari ini.

Pengerusinya, Kamaruzaman Hassan berkata, sebanyak 60 ekor ayam dipertandingkan dalam enam kategori termasuk kategori baharu ‘anak-anak ayam ratu’.

Beliau berkata, pertandingan ayam ratu sebenarnya adalah sejenis pertandingan yang memfokuskan kepada ‘kecantikan’ ayam dan bukannya kebolehan bersabung.

“Juri akan menilai beberapa perkara antaranya gaya, kekemasan bulu, tubuh, balung dan ekor ayam untuk memberi markah. Pertandingan sebegini biasa dianjurkan di negara Thailand sejak lebih tiga dekad lalu tetapi di negara kita hanya mula diperkenalkan sekitar 2015 manakala Karak pula baru ditubuh pada 2016.

“Kita tidak mahu penggemar ayam sabung terus terbabit dalam aktiviti menyabung ayam, pertandingan begini memberi peluang mereka menonjolkan kecantikan dan kehebatan ayam peliharaan tanpa perlu menyebabkan ayam cedera sakit kerana pertaruhan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kraftangan di sini hari ini.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, pihaknya telah menganjurkan empat pertandingan ayam ratu pada tahun lalu dan merancang lima pertandingan sepanjang tahun ini.

Menurutnya, antara baka ayam ratu yang sering dipertandingkan adalah Leung Hang Khao (LHK), ‘supergreen’, ‘ghashe’, ‘nockdang’ dan jalak.

Dalam pertandingan hari ini, bagi kategori LHK dewasa dimenangi ‘Gohan’ ayam milik Mohd Roslan Mahamed Rafter, 35 yang turut memenangi johan keseluruhan ‘Best Of The Best’.

Manakala kategori LHK muda dimenangi ‘Si Merah’ milik Noraidi Azhar, 29; kategori pelbagai roma dimenangi ‘Enam Tujuh’ milik Mohd Kamal Ibrahim, 29; kategori induk pula dimenangi ‘Ella’ milik Nuq Thaimalay, 34; dan kategori warna jitu dimenangi ‘Putra Alam’ milik Mohd Ram Saiful Azmi Saamah, 36 dan kategori anak-anak ayam ratu dimenangi ayam yang dimiliki Salman Yusoff, 27. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×