'Kami sudah sedia maklum mengenai kelewatan gaji, tidak ada isu' - Taj - Utusan Malaysia

‘Kami sudah sedia maklum mengenai kelewatan gaji, tidak ada isu’ – Taj

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 17 Jan. – Tonggak pertahanan skuad Liga Perdana Singa Utara, Amiridzwan Taj Tajudin memaklumkan bahawa soal kelewatan gaji sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak pengurusan dan perkara itu tidak menjadi isu kepada mereka.

AMIRIDZWAN TAJ TAJUDIN
AMIRIDZWAN TAJ TAJUDIN 

Katanya, seperti pemain Perlis Northern Lions 2, mereka juga sepatutnya menerima gaji pada 7 Januari lalu, namun atas masalah urusan bank, pembayaran itu terpaksa ditangguhkan.

Katanya, semua pemain skuad Liga Perdana telah dimaklumkan mengenai perkara itu, jadi tidak timbul sebarang isu mengenainya.

“Dalam kalangan kami tidak ada isu lah, tetapi membabitkan soal pemain Perlis Northern Lions 2, kita pun tidak tahu apa perbincangan mereka dengan pihak pengurusan.

“Mungkin dalam soal ini ada yang betul di sebelah pengurusan dan mungkin ada yang betul di sebelah pemain. Saya faham dalam kalangan pemain (Perlis Northern Lions 2) yang mengeluh tidak dapat gaji ini.

“Di sebelah pengurusan, para pemain ini yang sudah ikat kontrak arahan turun latihan mesti kena ikut sebab itu tanggungjawab kita meskipun latihan tersebut di Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menegaskan, bahawa badan induk bola sepak negeri itu tidak pernah mengambil sikap lepas tangan berhubung isu tunggakan gaji membabitkan 18 orang pemain Singa Utara.

Timbalan Presidennya, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan dilaporkan berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan segelintir pemain yang membuat kenyataan media berhubung isu tersebut.

Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan nasib dialami oleh 18 pemain Singa Utara yang diibarat gantung tidak bertali kerana masih belum menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA.

Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan berniaga kecil-kecilan. Kesemua pemain berkenaan sepatutnya mene­rima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan. Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Amiridzwan Taj berkata, dalam isu tersebut, pemain terbabit berkemungkinan begitu terdesak sehingga tidak mampu untuk turun latihan di Kuala Lumpur.

“Sebaiknya isu tersebut perlu diselesaikan antara mereka dengan pihak pengurusan supaya perkara ini tidak berlarutan dan merencatkan fokus Singa Utara,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×