PARIS 14 Jan. – Pertahanan tengah Paris Saint-Germain (PSG), Thiago Silva percaya Adrien Rabiot akan menjadi pemain yang penting buat mana-mana pasukan jika dia meninggalkan kelab tersebut.
Pemain Perancis itu telah diketepikan PSG selepas tidak bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama kelab bulan lalu, dengan perjanjian sebelum ini bakal berakhir pada penghujung musim ini.
Barcelona telah dikaitkan dengan pemain berusia 23 tahun itu pada Disember lalu tetapi menafikan telah mengadakan perbincangan dengan pemain tersebut.
“Jurulatih dan kelab harus berbincang dengan Rabiot. Mereka perlu mencapai persetujuan, cari sesuatu yang penting bagi Rabiot dan kelab.
“Saya tidak tahu mahu campur tangan dalam urusan ini tetapi Rabiot adalah pemain yang penting buat mana-mana pasukan.
“Kami harus menghormati jika mengambil keputusan untuk berhijrah,” katanya.
PSG tidak tewas selepas 18 perlawanan dalam saingan Ligue 1 dan memiliki kelebihan 13 mata ke atas Lille, selain memiliki kelebihan dua perlawanan. – AGENSI










