KUALA LUMPUR 29 Jan. – Belum lagi reda isu mengenai kelewatan Bayaran Bantuan Tambahan Persekolahan (BBTP), Kementerian Pendidikan nampaknya berdepan pula dengan dakwaan pengurangan kadar makanan di sekolah berasrama penuh (SBP) daripada RM18 kepada RM14.50.
Seperti biasa, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang cukup popular dalam kalangan rakyat pantas menafikan dakwaan tersebut dan menganggapnya sebagai fitnah semata-mata.
Walaupun begitu, penafian yang dilakukan Maszlee mendapat pelbagai reaksi berbeza daripada rakyat terutamanya individu yang mengetengahkan isu tersebut dalam media sosial iaitu Muhamad Harris Nasril.
Menurut Muhamad Harris, Maszlee tidak memberi penjelasan menyeluruh terhadap isu pengurangan kadar makanan selain penafian yang dilakukan beliau seolah-olah cuba menyembunyikan perkara sebenar.
“Isu pengurangan kadar makanan di SBP sememangnya berlaku di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya kerana saya sendiri mendapat penjelasan pihak sekolah yang kerajaan akan memberi subsidi yuran makan sebanyak RM14.50 sehari, bukannya RM18.
“Jumlah RM14.50 itu pula akan dibahagi kepada lima iaitu untuk sarapan, makan tengah hari, makan petang, makan malam, dan gabi (supper),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Maszlee ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu tersebut menafikan perkara itu berlaku dan secara sinis ‘mempelawanya’ untuk menggunakan masa yang terluang dengan mengajar murid-murid terutama di kawasan pedalaman.
Mengulas lanjut, Muhamad Harris berkata, kerajaan diharap mampu memastikan kualiti makanan yang disediakan kepada pelajar terjamin dan berkhasiat sekiranya tidak berkemampuan memberi subsidi seperti sebelum ini.
Katanya, hal itu bagi memastikan pembelajaran pelajar di semua sekolah tidak terjejas memandangkan makanan adalah faktor yang akan mempengaruhi aktiviti mereka di sekolah.
“Setakat ini saya tanya anak di Sekolah Seri Puteri, makanan yang disediakan memuaskan. Apa pun, pihak kementerian perlu memberi penjelasan menyeluruh mengenai isu ini dan bukannya berdolak-dalik mengenai perkara sebenar,” katanya.










