KUANTAN 31 Jan. – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menggagalkan cubaan pihak tidak bertanggungjawab memindahkan lebih 200 batang balak pelbagai spesies di hutan tanah kerajaan Kampung Batu 21 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, di sini semalam.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JPNP, Mohd. Rahim Ramli berkata, balak daripada jenis antaranya meranti damar laut, keruing dan damar hitam berkenaan dianggarkan bernilai RM200,000 keseluruhannnya.
Katanya, pemeriksaan kira-kira tiga jam bermula pukul 5.30 petang oleh tujuh anggota Seksyen Penguatkuasaan Pahang Timur JPNP menemukan dua longgok kayu pelbagai spesies dalam hutan dan matau berhampiran kilang papan.
“Kita percaya pokok balak terbabit ditebang beberapa minggu lalu oleh beberapa individu sebelum dipindahkan.
“Harga yang tinggi mendorong pihak terbabit cuba memindahkan spesis balak berkenaan,” katanya, di sini hari ini.
Mohd. Ramli berkata, cubaan memindahkan balak di hutan kerajaan itu merupakan kes pertama berlaku di situ yang terkenal dengan pelbagai spesies pokok balak berkualiti tinggi terutama meranti damar laut yang semakin sukar ditemui. – UTUSAN ONLINE










