KUALA LUMPUR 19 Jan. – Meskipun dunia dikatakan sudah berubah dan terus dipacu dengan arus kemodenan, namun masih ada kelompok yang menaruh kepercayaan terhadap pelbagai barangan berunsur khurafat dan tahayul malah dijual secara terbuka termasuk menerusi dalam talian.
Lebih mengejutkan, harga ditawarkan bukan calang-calang, malah mencecah puluhan ribu ringgit bergantung kepada barangan diminta daripada minyak pengasih buluh perindu, besi kuning yang kononnya untuk pemakainya menjadi kebal sehinggalah kepada patung saka belaan seperti jenglot.
Hasil penelitian Mingguan Malaysia terhadap seorang penjual barangan seumpama itu, peniaga terbabit menggunakan konsep bidaan yang mana harga mula adalah di antara RM70 sehingga RM25,000 berdasarkan keunikan dan kelebihannya.
Harga mula tertinggi setakat ini bernilai RM25,020 bagi jenglot berupa ikan duyung yang didakwa diperoleh dari Indonesia.
Jenglot yang didakwa asli berusia ribuan tahun itu dikatakan akan memberikan pelbagai kelebihan kepada pemiliknya antaranya beroleh kekayaan dengan mudah, perlindungan diri dan sentiasa kelihatan muda.
Bagi minyak pengasih pula, ia boleh dibida serendah RM70 ataupun dibeli secara terus dengan harga sekitar RM90 hingga RM250.
Penggunaan minyak tersebut didakwa berupaya melariskan perniagaan, menjamin keharmonian mereka yang berpoligami selain memikat pasangan.
Berdasarkan perbualan wartawan dengan penjual terbabit, Mingguan Malaysia difahamkan bahawa mereka mempunyai kedai yang beroperasi di Sepang, Selangor dekat sini.
Tinjauan mendapati, kedai berkenaan turut menjual pelbagai senjata tradisional, wafak atau tulisan azimat serta cincin batu permata yang dikhabarkan mempunyai 1,001 kelebihan.
Penjual turut mendakwa, terdapat kira-kira 5,000 jenis barangan sedemikian dan sentiasa laris dibeli pelanggan yang mendambakan keistimewaannya.
Lebih menghairankan, premis berkenaan tidak putus dikunjungi pelanggan dari seluruh pelosok negara khususnya pada hujung minggu.
“Minyak pengasih adalah antara barangan paling laris, pelanggan kami bukan sahaja dalam kalangan orang biasa sahaja malah ramai golongan kenamaan turut mendapatkan barangan di sini,” dakwa salah seorang pembantu kedai tersebut.










