PERTEMUAN Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Ahad lalu seakan membuka satu dimensi hubungan yang baharu.
Sebabnya sebelum ini, pendirian Perdana Menteri dan Sultan Johor jelas tidak selari. Ini ditambah lagi dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyimbah petrol menyemarakkan api perseteruan.
Bagi Perdana Menteri, pertemuan hasil undangan pihak istana itu mungkin satu kesempatan terbaik untuk menjelaskan pandangannya dalam beberapa isu setelah lebih 20 tahun tidak bertemu secara empat mata dengan Sultan Johor.
Dr. Mahathir yang pernah bertemu dengan pelbagai pemimpin dunia dan jauh lebih berpengaruh dilihat seperti biasa – mesra dan tersenyum. Begitu juga baginda dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyambut negarawan itu dengan hati terbuka.
Pertemuan tersebut bertambah manis dan mencetus emosi apabila Sultan Johor mencemar duli menghantar Perdana Menteri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dengan memandu sendiri kereta Proton Saga edisi pertama berwarna biru muda.
Tidak kurang juga berbagai-bagai tafsiran diberikan apabila baginda memandu kereta dengan nombor pendaftaran Proton 1 itu yang dihadiahkan kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail pada 1985. Detik itu amat bersejarah dan membuka lembaran baharu.
Walaupun tidak dijelas atau didedahkan isi pertemuan tersebut, apa yang diharapkan majoriti rakyat selepas perjumpaan tersebut adalah hubungan lebih baik terutama menjadi jambatan antara Istana Johor, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Ini kerana sumbangan negeri terhadap Persekutuan tidak boleh dinafikan apabila kira-kira RM46 bilion dikatakan disalurkan setiap tahun dan Johor hanya mendapat pulang semula dalam bentuk peruntukan kira-kira RM2 atau RM3 bilion setahun.
Diharapkan hubungan baik dan mesra antara Dr. Mahathir dan Almarhum Sultan Iskandar semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong dahulu dapat diteruskan dengan Sultan Ibrahim malah lebih akrab lagi kerana kedua-duanya mempunyai kuasa dan pengaruh besar.
Rakyat perlu menghantar doa yang terbaik untuk kedua-dua pemimpin itu. Kita tidak mahu satu hubungan yang tenang di permukaan tetapi bergolak di dasar sebaliknya mahu sebagaimana tidak berkocak di permukaan, begitu juga tidak keruh di dasar.










