SEREMBAN 26 Jan. – Datuk Seri Aminuddin Harun tidak teragak-agak untuk memotong sendiri rumput di tepi jalan sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan gagal melaksanakan tugas itu.
Menteri Besar itu memberi amaran kepada semua ketua jabatan dan PBT supaya memastikan sebarang aduan dan rintihan rakyat diambil berat termasuk yang ditularkan dalam media sosial.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauannya terdapat PBT dan jabatan yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, manakala yang lain masih belum memuaskan.
“Semua jabatan mesti sensitif. Kalau setiap aduan dapat diselesaikan dengan baik, aduan tidak akan berlaku. Ada jabatan yang proaktif, ada yang kurang dan ini sentiasa dalam ‘radar’ (pemantauan) saya untuk diperbetulkan.
“Kalau mereka tidak bertindak kepada aduan, Insya Allah saya sendiri akan turun, kalau macam itu yang mereka hendak. Jangan sampai berlaku perkara yang akan memalukan jabatan sendiri. Saya minta ketua jabatan jaga nama baik jabatan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sikamat di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan warganet baru-baru ini yang menularkan masalah rumput dan longkang rosak di negeri ini dan mengkritik kepemimpinan beliau dalam menangani perkara tersebut.
Menurut Aminuddin, beliau tidak kisah walaupun kerap diserang dalam media sosial ekoran masalah berkenaan.
“Saya tidak menyalahkan mereka dan alu-alukan komen, itu tidak jadi masalah bagi saya. Kadang-kadang mereka sudah buat aduan sebelum ini tetapi tidak diambil serius,” katanya. – UTUSAN ONLINE










