KUALA PILAH – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memberi peringatan kepada kerajaan dan jentera pentadbiran supaya memastikan hasil negara tidak digunakan untuk kepentingan peribadi individu tertentu.
Titah baginda, semua pihak seharusnya bersyukur kerana diberi peluang untuk memperbaiki dan memperbetulkan semua kelemahan pentadbiran negara.
“Beta menyeru kepada semua sama ada pemimpin atau rakyat agar tidak melepaskan peluang yang ada ini untuk merencana masa hadapan negara agar menjadi lebih baik.
“Kepimpinan kerajaan negeri juga perlu beramanah, bermaruah tinggi dan berpendirian tinggi serta menjalin kerjasama harmoni dengan kerajaan Persekutuan,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-71 baginda di Istana Besar Seri Menanti di sini semalam.
Pada istiadat itu, seramai 340 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengetuai senarai penerima dengan menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjah SSNS ialah Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Abdul Hamid Bador.










