Isu penyelenggaraan punca kotor - Utusan Malaysia

Isu penyelenggaraan punca kotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Masalah penyelenggaraan serta kurangnya sikap bertanggungjawab semasa mengguna dalam kalangan masyarakat merupakan dua faktor yang dikenal pasti menjadi punca kebanyakan tandas awam di negara ini berada dalam keadaan teruk dan kotor.

Aktivis masya­rakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sering diperhatikan tandas-tandas awam seperti di stesen bas serta kawasan pelancongan tidak mempunyai kualiti kebersihan seperti yang sepatutnya ekoran tidak diselenggara dengan baik.

“Kita boleh perhatikan, penyelenggaraan tandas awam tidak berada dalam keadaan memuaskan, paip rosak, mangkuk tandas pecah, pam tidak berfungsi. Ini masalah yang dihadapi pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana pihak yang diberi tanggungjawab untuk me­nyelenggara tandas awam tidak me­laksanakan tugas dengan baik.

“Masyarakat juga perlu membudayakan kebersihan semasa menggunakan semua tandas awam. Masih ramai yang menggunakan kemudahan tersebut dengan secara tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan masalah kepada pengguna lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, jelas Lam Thye, pihak­nya menyambut baik langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang telah mengeluarkan Garis Panduan Pe­ngu­rusan Tandas dan Manual Pembersihan Tandas Awam sejak tahun 2017.

“Garis panduan tersebut amat baik namun bagaimana pula dengan aspek pemantauan? Siapakah yang akan memantau dan mengawasi garis panduan yang dilaksanakan tersebut,” katanya.

“Walaupun ada garis panduan yang baik namun hakikatnya masih banyak tandas awam yang beroperasi tidak mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan itu. Ini juga masalah yang kita sedang hadapi ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, kata Lam Thye, kesemua tandas awam di negara ini boleh berada dalam keadaan yang bersih dan sempurna sekiranya budaya hidup masyarakat dapat diperbaiki dengan lebih meng­utamakan kebersihan.

“Kita semua boleh bangkitkan semula kesedaran bahawa tandas amat penting kepada semua manusia, tidak dapat dielakkan ia mesti dipakai dan mesti digunakan.

“Tandas awam sepatutnya bersih dengan semua orang boleh menggunakannya dengan selesa tanpa sebarang kerisauan dan berbau. Kita semua boleh melakukannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×