KUANTAN 16 Jan. – Tengku Mahkota Pahang yang baharu dijangka dimasyhurkan pada bulan ini bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang diangkat sebagai Sultan Pahang Keenam.
Satu sumber rapat dengan istana memberitahu, istiadat itu dijangka diadakan serentak dengan pemasyhuran bondanya Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang.
“Tarikh belum ditetapkan tetapi dijangka selewat-lewatnya hujung bulan ini. Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang akan diadakan pada hari sama,” katanya di sini hari ini.
Nama yang disebut-sebut bakal diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang ialah Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah, 23, yang merupakan putera sulung Al-Sultan Abdullah.
Secara tradisi, jawatan Tengku Mahkota Pahang akan diserahkan kepada putera sulung kepada pemerintah semasa.
Sementara itu, difahamkan, Istana Pahang juga sudah bersiap sedia untuk memasyhurkan Pemangku Raja Pahang jika Al-Sultan Abdullah diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Hal demikian kerana pemasyhuran Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu melayakkan baginda berada dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Tengku Mahkota Pahang seterusnya adalah calon yang dikatakan bakal dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang jika situasi berkenaan berlaku.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu berikutan peletakan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 6 Januari lalu akan diadakan di Istana Negara pada 24 Januari ini.










