TREND wanita bekerjaya bukan lagi perkara baru, malah menurut pemerhatian jumlah golongan tersebut yang terlibat dalam bidang pekerjaan profesional seperti doktor, peguam dan arkitek semakin meningkat seiring dengan peningkatan dalam aspek pendidikan.
Faktor desakan ekonomi turut menjadikan wanita zaman sekarang lebih berani untuk berdikari dan berdiri setaraf dengan kedudukan lelaki untuk keluar mencari rezeki memenuhi keperluan keluarga.
Sudah semestinya mencari sumber rezeki bukan terletak sepenuhnya atas bahu wanita yang bergelar isteri mahupun ibu, namun rata-rata mereka yang memperoleh berpendidikan tinggi lebih memilih untuk bekerja berbanding menjadi suri rumah sepenuh masa.
Walau bagaimanapun, beban kerja semakin meningkat menuntut mereka untuk lebih fokus terhadap kerjaya sehingga ada yang terpaksa melakukan kerja lebih masa.
Sedar mahupun tidak, situasi begini memberi impak terhadap keharmonian sesebuah rumah tangga.
Menurut pendakwah terkemuka, Syed Abdul Kadir Syed Hussin Aljoofre, keruntuhan rumah tangga boleh terjadi sekiranya berlaku pengabaian tanggungjawab hakiki sebagai seorang isteri yang terlalu sibuk bekerja.
Katanya, asas dalam rumah tangga adalah saling membantu dan memberikan yang terbaik bagi kebahagiaan berpanjangan.
“Namun, harus diingati bahawa tanggungjawab memberikan nafkah kepada isteri adalah wajib bagi suami dan tidak boleh memaksa isteri untuk membantu mencari rezeki.
“Tidak salah jika seorang isteri bekerja untuk membantu suami, malah mereka mendapat ganjaran pahala lebih sekiranya turut sama membantu mencari nafkah melalui empat syarat iaitu memperoleh keredaan suami, melakukan pekerjaan halal, mampu menjaga maruah diri di tempat kerja dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri,” katanya.
KERJA SEBAGAI IBADAH
Mengulas lanjut, beliau berkata, isteri yang ingin bekerja harus mempunyai matlamat jelas iaitu menetapkan niat untuk ibadah bagi keperluan akhirat.
“Anggaplah pekerjaan dilakukan sebagai ibadah dan dalam waktu yang sama membolehkan kita mengingati Allah. Hal ini secara tidak langsung mampu mengelakkan golongan wanita bekerja mengabaikan tanggungjawab terhadap urusan rumah tangga.
“Kita mengetahui tanggungjawab hakiki isteri adalah melayan suami dan membantu mengurus rumahtangga. Tanggungjawab seorang suami pula memberikan nafkah, mendidik keluarga serta membawa mereka ke jalan yang benar,” katanya.
Tambahnya, isteri yang bekerjaya perlu bijak dalam menguruskan masa seharian iaitu membahagikan tugas sebagai isteri dan pekerja berwibawa.
Seorang isteri yang bijak mengurus masa antara kerjaya dan rumah tangga secara tidak langsung dapat mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.
“Seperti dinukilkan oleh tokoh pemikir Islam, Imam al-Ghazali sendiri iaitu ‘hanya jika engkau menyusun jadual hidupmu akan terzahir keberkatan waktu’ yang bermaksud kita perlu menyusun waktu dengan betul supaya memperoleh keberkatan masa,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Abdul Kadir turut menekankan bahawa seorang suami tidak mempunyai hak untuk mengambil wang atau harta isterinya tanpa keizinan mereka.
Katanya, sebarang perbelanjaan untuk keperluan harian yang menggunakan duit isteri harus mendapat persetujuan bersama kerana sudah jelas bahawa keperluan perbelanjaan sememangnya wajib bawah tanggungan suami.
“Walau bagaimanapun, jika mendapat keizinan daripada isteri, suami boleh menggunakan wang tersebut bagi tujuan meringankan beban kewangan keluarga,” katanya.
ELAKKAN SKANDAL
Selain itu, isu skandal di tempat kerja juga sering kali menjadi punca keretakan rumah tangga sama ada dalam kalangan isteri mahupun suami bersama rakan sekerja lain.
Malah, perkara itu yang pada awalnya dianggap suka-suka, akhirnya membawa kepada keruntuhan rumah tangga ekoran jiwa suami atau isteri sedang hangat bercinta sehingga sanggup mengabaikan keluarga.
Syed Abdul Kadir berkata, penceraian disebabkan skandal di tempat kerja sering berlaku kerana isteri atau suami lebih seronok menghabiskan masa di pejabat berbanding rumah.
“Apabila bekerja, sudah semestinya mereka berinteraksi dengan ramai orang, menambah kenalan baru dan akhirnya membuka peluang untuk berlaku curang.
“Situasi sebegini boleh membuatkan hati menjadi berbolak-balik sehingga lupa segala kebahagiaan pernah dilalui bersama sebelum ini,” ujarnya.
Tambahnya, untuk mengekalkan kebahagiaan sesebuah rumah tangga, setiap pasangan suami isteri perlu menepis segala anasir tidak baik.
“Melayari kehidupan berumah tangga ibarat kapal yang belayar di tengah laut. Sentiasa ada pasang dan surut. Oleh itu, bagi melawan ombak yang membadai sesebuah rumah tangga, perlu ditetapkan setiap perkara yang dilakukan haruslah bermatlamatkan kerana Allah,” jelasnya.










