KUALA TERENGGANU 26 Jan. – Apa sahaja aktiviti seni dan hiburan sememangnya dibenarkan dalam Islam tetapi dengan syarat, kegiatan seumpama itu perlu mengikut garis panduan
ditetapkan Islam.
Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam tidak menghalang kegiatan seni atau hiburan termasuk kebudayaan dan tradisional selagi ia tidak melalaikan dan tidak
bercanggah dengan Islam.
Beliau berkata, negeri-negeri yang dikuasai Pas seperti Terengganu dan Kelantan masih
dibenarkan meneruskan aktiviti seumpama itu termasuk ulek mayang dan gamelan namun
berpandukan syarat ditetapkan.
Jelasnya, persembahan lagu ulek mayang dan gamelan mesti mempunyai garis panduan yang
betul dan begitu juga dengan kesenian lain yang tidak melekakan, melalaikan selain tidak wujud
pergaulan bebas antara lelaki dan wanita.
“Kalau kita lihat zaman dulu lagu ulek mayang ini, pengaruh syirik masih ada dengan memuja
syaitan serta jin. Mereka guna mayang ataupun pinang yang telah dijampi, kemudian hingga jadi
histeria kerana dirasuk, itu budaya tak sihat yang boleh diubah dengan cara baik.
“Biasanya bila bulan terang mereka akan berkumpul di tepi pantai dan cari tubuh sasa sambil
baca mentera hingga tak sedarkan diri, lalu nak terjun laut tapi diberkas dan ini menyakitkan serta
ganas. Ia boleh diteruskan tapi aspek negatif seperti ini kena buang,” ujarnya.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas
merasmikan Simposium Seni dan Hiburan Mengikut Islam di Perbadanan Perpustakaan Awam
Terengganu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











