LAYAK ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun adalah misi utama jaguh lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamshuddin yang sanggup ‘korek tabung’ mengeluarkan duit sendiri hampir RM123,000 demi menjalani latihan selama 85 hari di Republik Czech dan Turki.
Irfan, 24, sedia berkorban apa sahaja demi menggapai impiannya termasuk membayar sendiri khidmat jurulatih peribadi baharu dari Republik Czech, Imrich Bugar (gambar kecil), 64, sebanyak €625 (RM2,937) seminggu dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah €7,500 (RM35,243) sepanjang 12 minggu ‘berguru’ di Eropah.
Pemenang tiga pingat emas Sukan SEA dan perak Kejohanan Asia itu beranggapan permintaan gaji Bugar amat berpatutan berbanding seorang lagi calon dari Amerika Syarikat sebagai pengganti kepada bekas jurulatihnya, Frantisek Petrovic selepas kontraknya tidak disambung.
Irfan yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55 meter (m), sudah tidak sabar untuk menerima tunjuk ajar daripada Bugar yang merupakan atlet ke-10 terbaik sepanjang zaman dalam acara sukan tersebut selepas pernah merekodkan lemparan sejauh 71.26m.
“Tiada apa dapat menghalang saya untuk mencapai cita-cita ini kerana ia adalah periuk nasi dan masa depan saya. Impian saya lebih besar daripada hanya fokus kepada Sukan SEA, saya mahu menang banyak lagi gelaran.
“Saya mula mempelajari lempar cakera dengan melihat video teknik balingannya. Jadi, saya memang tak sangka harga ini yang diletakkan kerana ia masih berpatutan memandangkan statusnya sebagai atlet ke-10 terbaik dunia.
“Saya baru mengikuti modul programnya sahaja ketika ini tetapi sudah dapat merasai perubahan positif, belum lagi saya bersama dengannya dalam latihan kerana acara ini sangat teknikal yang memerlukan pemerhatian jurulatih.
“Saya tidak kisah apa terjadi dalam mana-mana kejohanan kerana sasaran utama tahun ini adalah untuk layak ke Sukan Olimpik 2020,” katanya pada sidang akhbar khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam kelmarin sebelum berlepas ke Prague awal pagi semalam.
Irfan juga mendedahkan kelengkapan peralatan di Eropah yang sempurna berbanding di Majlis Sukan Negara (MSN) yang didakwanya mampu membantu persiapannya untuk layak ke Sukan Olimpik 2020, selain mempertahankan pingat perak pada Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha, Qatar dari 19 hingga 24 April depan.
“Empat tahun saya mohon peralatan tetapi tidak dapat, namun semua itu ada di Eropah. Mungkin saya perlu jadi juara Sukan Olimpik, baru tuntutan saya dapat dipenuhi.
“Saya ke Prague dahulu dan ke (Antalya) Turki pada 17 atau 18 Februari hingga 3 Mac, kemudiannya pulang semula ke Prague sebelum terus ke Doha untuk menyertai Kejohanan Asia. Saya perlu lakukan catatan 61m untuk pertahankan pingat perak.
“Saya boleh membuat pilihan untuk sertai kejohanan kerana banyak akan bermula penghujung Februari. Untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 tiada masalah kerana terlalu banyak kejohanan yang ada sepanjang tahun ini untuk membolehkan saya layak ke Sukan Olimpik 2020,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Irfan mencetus kontroversi apabila meluahkan kekecewaan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas permohonannya berlatih di Eropah dan mendapatkan khidmat Bugar tidak mendapat ‘lampu hijau’ daripada MSN dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Irfan tetap bertegas untuk berkelana ke Eropah menggunakan dana sendiri walaupun MSN dan KOM menyatakan pihak mereka masih dalam rundingan dengan pemecah rekod kebangsaan sebanyak 13 kali itu bagi menyelesaikan masalah tersebut.










