Institusi raja ternyata dekat di hati rakyat - Utusan Malaysia

Institusi raja ternyata dekat di hati rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memilih Yang di-Pertuan Agong adalah bidang kuasa Majlis Raja-raja. Ini disebut dalam Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan dan kaedah pemilihan dinyatakan secara tersusun dalam Bahagian I, Jadual Ketiga.

Mengikut peruntukan itu, jawatan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara bagi Persekutuan hendaklah ditawarkan Majlis Raja-raja kepada Raja yang layak dipilih, yang Negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan yang diperihalkan.

Jika Raja berkenaan tidak menerima jawatan itu, maka jawatan itu hendaklah ditawarkan kepada Raja lain yang negerinya dalam senarai pemilihan berikutnya dan begitulah seterusnya.

Seseorang Raja pula layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika—

(a) Belum dewasa: atau

(b) Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang baginda tidak berhasrat dipilih; atau

(c) Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.

Maka berdasarkan giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk pusingan pertama sebelum ini, Pahang berada dalam kedudukan negeri berikutnya selepas Kelantan.

Dan berdasarkan titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas berangkat menunaikan solat subuh di sebuah masjid di Kuantan hari ini, baginda yang ditanya kemungkinan dilantik ke jawatan Yang di-Pertuan Agong hanya menyerahkannya kepada Majlis Raja-raja.

Mesyuaratnya sudah ditetapkan pada 24 Januari ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong yang kini kosong setelah peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V pada 6 Januari lalu.

Peletakan jawatan itu satu sejarah tersendiri dan begitu juga dengan keputusan Sultan Ahmad Shah untuk serah takhta yang membolehkan anakandanya, Sultan Abdullah dilantik sebagai Sultan Pahang.

Selain mencatatkan sejarah namun segala yang berlaku ini berjalan dengan cukup tertib mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri.

Dan minat yang ditunjukkan rakyat sehinggakan ada kalanya sama-sama ‘berspekulasi’ adalah tidak lain dan tidak bukan kerana hormat dan kasih mereka kepada institusi raja berperlembagaan yang terus kekal dekat di hati rakyat Malaysia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN