KANGAR 31 Jan. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa institusi kekeluargaan memainkan peranan yang sangat penting bagi melahirkan generasi yang baik.
Titah baginda, jika baik sesebuah keluarga, maka sejahteralah rakyatnya dan aman makmurlah negaranya.
Begitulah hebatnya fungsi sebuah keluarga, titah baginda, sehingga ia menjadi salah satu elemen terpenting dalam membina sebuah daulah yang diberkati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sepertimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyertai program ‘Kayuhan Kasih Telekom Malaysia (TM) bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2019’ yang bermula dan berakhir di Masjid Al Hidayah, Titi Beratap, Behor Mali, Simpang Empat baru-baru ini.
Aktiviti tersebut disekalikan dengan program MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 9 bagi tahun 2019 serta ‘Op Sifar Cicir Sekolah’ bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis peringkat Sek Agama Islahiyah Menengah (SAIM) Behor Mali, Sek Agama Islahiyah Rendah (SAIR) Behor Mali dan SK Behor Mali yang melibatkan penyertaan 250 asnaf terpilih menerima sumbangan agihan zakat MAIPs sebanyak RM600 setiap seorang dari MAIPs dan RM100 dari TM.
Pihak TM turut menyumbangkan RM1,000 kepada setiap di antara tiga buah rumah yang disinggahi ketika program kayuhan tersebut.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Modal Insan Kumpulan TM, Farid Shah Mohd Basir.
Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif TM, Datuk Bazlan Osman, Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan TM dan Yang Dipertua Bakit Pusat, Mohamad Mohamad Zain dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail.
Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut meluangkan masa singgah merasmikan projek bantuan ‘Program Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf MAIPs’ perusahaan ‘Gunting Rambut Sukri’ milik Sukri Hassan di Kampung Titi Beratap, Jalan Simpang Empat.
MAIPs telah menyumbangkan RM12,551 kepada beliau dalam tahun 2015 untuk bantuan membina sebuah bengkel bagi menjalankan perniagaan beliau.
Di akhir program, para peserta menyertai anak kariah masjid tersebut mendengar tazkirah daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin seusai solat maghrib berjemaah. – UTUSAN ONLINE











