KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal melangkah ke pentas final Kejohanan Badminton Indonesia Masters 2019 selepas tewas kepada pasangan tuan rumah, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 22-20, 21-11 di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi.
Kekalahan Peng Soon-Liu Ying yang pernah memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2016, menyaksikan tiada wakil negara akan berentap pada final Indonesia Masters esok.
Pasangan ranking keenam dunia itu akan meneruskan cabaran mereka dengan menyertai Terbuka Jerman dari 26 Februari hingga 3 Mac ini dan Kejohanan Badminton All England bermula 6 Mac depan.
Ia merupakan peluang seterusnya buat Peng Soon-Liu Ying memburu gelaran kedua tahun ini selepas menjuarai Thailand Masters awal bulan ini. – K! ONLINE










