KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menjelaskan keputusan menamatkan perkhidmatan seramai 25 imam kariah di negeri ini dibuat berdasarkan faktor umur mereka yang telah melepasi 60 tahun.
Beliau berkata, keputusan tersebut diputuskan mengikut peruntukan sedia ada di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis 2006 berhubung had umur berkenaan.
“Setelah tanya pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), umur mufti terlibat (ditamatkan perkhidmatan) adalah antara 61 hingga 88 tahun,” katanya yang menjelaskan tentang isu penamatan khidmat 25 imam dalam kuliahnya di Masjid Alwi di sini sebentar tadi.
Selain itu, kata beliau, institusi masjid di negeri ini juga memerlukan anak muda yang layak menggantikan tempat mereka sebagai imam.
“Saya cadangkan supaya beri laluan dan peluang kepada anak muda di Perlis ini menggantikan tempat mereka sebagai imam,” ujarnya lagi.
Tambahnya, selain faktor umur, terdapat beberapa lagi faktor lain yang diambil kira sebelum keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan beberapa imam dilakukan.
“Ada yang didapati memainkan isu politik, tidak baca khutbah yang diberikan dan tidak datang kursus berkala. Ia melibatkan soal disiplin bukan soal baca qunut atau tidak, zikir atau tidak,” katanya.
Seramai 25 imam di negeri ini dilaporkan ditamatkan perkhidmatan oleh JAIPs berkuat kuasa Selasa lalu tanpa diberi sebarang alasan.
Perkara itu diketahui umum selepas surat penamatan perkhidmatan Imam 1 dan 2 Masjid Al-Ghufran bertarikh 31 Disember lalu viral di laman sosial Facebook hari ini.-K! ONLINE










