Imam didakwa pukul isteri kerana pajak pokok rambutan - Utusan Malaysia

Imam didakwa pukul isteri kerana pajak pokok rambutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 26 Jan. – Gara-gara dua batang pokok rambutan, seorang imam ditahan polis kerana disyaki memukul isterinya hingga cedera dan melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol di Kampung Bukit Kadir di Nilai, dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, suspek yang juga bekas anggota polis berpangkat sarjan di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah didakwa berang dengan tindakan isterinya memajakkan pokok rambutan itu yang telah berbuah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, suspek yang bersara pada 2015 dan berkhidmat sebagai Imam 2 di Masjid Kampung Bukit Kadir ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

“Isteri suspek berusia 58 tahun mendakwa suaminya tidak berpuas hati dengan tindakannya memajak pokok rambutan itu kepada orang kampung. Dia mendakwa ditumbuk di bahagian muka, rambutnya ditarik dan ditendang oleh lelaki itu.

“Wanita itu turut mendakwa suaminya memegang sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke udara. Suaminya kemudian mengambil parang dan mahu menyerangnya, tetapi dapat dihalang oleh salah seorang anak lelaki mereka,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, suspek bagaimanapun tidak mengaku melepaskan tembakan dalam kejadian tersebut dan memiliki senjata api apabila disoal siasat oleh polis.

“Pemeriksaan polis di halaman rumah iaitu lokasi suspek didakwa melepaskan tembakan tidak menemukan kelongsong peluru, namun siasatan masih berjalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN