IPOH 1 Jan. – Seorang suri rumah gembira apabila hasrat suaminya untuk menyambut kelahiran anak kedua mereka pada tahun baharu tercapai apabila bayi lelaki seberat 2.97 kilogram dilahirkan pada pukul 7.08 pagi tadi.
Bayi yang akan dinamakan Muhamad Faiz Syazwan Muhamad Faizul itu merupakan antara 13 bayi yang selamat dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bermula pukul 12.35 tengah malam tadi sehingga 8 pagi ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai empat bayi dilahirkan secara pembedahan manakala selebihnya lagi dilahirkan secara normal.
Menurut Nur Safura Syukor, 27, suaminya telah mula memasang hasrat bayi tahun baharu sebaik sahaja dimaklumkan doktor bahawa tarikh jangkaannya bersalin jatuh pada bulan Januari.
Katanya, keterujaan itu turut dikongsi oleh ibu bapa mereka yang kerap ‘berpesan’ agar cucu kedua itu lahir pada tarikh istimewa tersebut.
“Lepas sembahyang, saya selalu usap perut dan pesan pada adik, kalau boleh mahu dia lahir cukup bulan, tidak mahu seperti kakaknya yang terpaksa ditahan di wad kerana lahir tidak cukup bulan.
“Saya juga pesan keluarlah pada bulan Januari tetapi tidak sangka langsung dia akan lahir pada tarikh yang istimewa ini,” katanya ketika ditemui di wad bersalin HRPB di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










