CAMERON HIGHLANDS 25 Jan. – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat cuba mempolitikkan hutang kerajaan negeri Pahang yang dikatakan mencecah RM3.178 bilion sedangkan jumlah sebenar hutang negeri itu tidak lebih daripada RM700 juta.
Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, seperti mana yang telah dijawab oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini, hutang kerajaan negeri menjadi banyak ekoran kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan air, penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Pahang dan bantuan banjir di negeri itu.
“Macam mana kita tidak berhutang banyak, pertamanya projek bekalan air di mana panjang paip di negeri Pahang ini adalah sejauh 12,000 kilometer.
“Selain itu penganjuran Sukma yang merupakan projek kerajaan persekutuan yang mana semua negeri (perbelanjaan) ditanggung oleh mereka. Pahang juga membelanjakan RM40 juta untuk kerja-kerja bantuan banjir dan bencana itu sebenarnya adalah di bawah urusan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis minum petang bersama veteran-veteran komando, tentera, Angkatan Tentera Orang Asli dan balu di Dewan Masyatakat Orang Asli Sungai Ruil di Tanah Rata di sini hari ini.
Menurut beliau, sekiranya tiga perkara itu ditolak, hutang sebenar kerajaan negeri tidaklah sebesar itu namun Guan Eng menggunakan ia sebagai tujuan politik.
“Ini perlu ditolak, ia di atas kertas sahaja di mana atas kertas yang telah dipinda oleh orang tertentu, sebenarnya hutang Pahang bukan sebanyak itu dan saya harap perkara ini jelas,” katanya. – UTUSAN ONLINE










