'Hujan gerimis' di bawah pokok petai - Utusan Malaysia

‘Hujan gerimis’ di bawah pokok petai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 26 Jan. – Sebatang pokok petai di Kampung Petani, Sering, di sini didakwa ‘menangis’ apabila mengeluarkan air jernih seakan-akan hujan gerimis dari kanopinya sejak seminggu lalu, sekali gus menarik perhatian penduduk.

Fenomena aneh tersebut dikatakan bermula sekitar ‪pukul 8‬ ‪malam hingga 6‬ pagi menyebabkan ada dalam kalangan orang ramai datang dari jauh semata-mata mahu melihat dan menadah ‘air mata’ itu.

Seorang penduduk tinggal berhampiran pokok terbabit yang enggan dikenali berkata, kejadian aneh itu mula disedarinya pada Isnin lalu semasa pulang dari surau selepas solat Isyak.

“Saya ingatkan ada paip bocor di kawasan itu kerana melihat keadaan jalan tar yang basah. Semasa lalu di bawah pokok itu terasa seperti terkena air hujan renyai-renyai.

“Pokok tidak sampai satu pemeluk orang dewasa ini terletak dalam kawasan rumah seorang saudara saya yang kini tinggal di Gua Musang. Tingginya kira-kira 30 meter dan berusia dalam 30 tahun,” katanya, di sini hari ini.

Dia berkata, sebaik sahaja khabar pokok petai menangis tersebar, setiap malam berpuluh-puluh orang penduduk datang untuk menyaksikan sendiri kejadian aneh tersebut dan tidak melepaskan peluang menadah airnya.

“Airnya jernih dan berbau seperti petai, orang yang merasa air itu berkata rasanya payau seperti petai juga. Saya sempat menadah airnya selama semalaman dan dapat hampir seliter air,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×