Hoki: Blue Warriors berjaya atasi PKS Uniten - Utusan Malaysia

Hoki: Blue Warriors berjaya atasi PKS Uniten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Peluang Blue Warriors bergelar juara Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 kembali terbuka selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas juara bertahan, PKS Uniten di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini sebentar tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad hoki wanita Polis Diraja Malaysia itu melonjak ke tangga kedua menerusi pungutan 15 mata daripada tujuh perlawanan, ketinggalan tiga mata dengan pendahulu, Terengganu Ladies yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Ketua jurulatih Blue Warriors, Zulkhairi Ariffin tetap optimis mereka mampu memintas Terengganu Ladies tetapi dengan syarat skuad bimbingannya tidak boleh tewas dalam baki lima perlawanan liga selepas ini.

“Alhamdulillah kami berjaya melepasi satu perlawanan yang sukar dengan kemenangan ke atas juara bertahan dan agak bernasib baik kerana berjaya menjaringkan gol sebelum perlawanan hari ini ditamatkan awal.

“Kami masih ada peluang lagi tetapi perlu menang semua perlawanan, kalau boleh dengan jaringan yang besar sambil mengharapkan Terengganu tewas satu atau dua perlawanan.

“Para pemain masih optimis dan kami akan cuba sebaik mungkin dalam mengejar harapan untuk menjadi juara liga musim ini,” katanya.

Juara Piala Vivian May Soars 2018 itu bernasib baik kerana memperoleh satu gol menerusi jaringan tonggak berpengalaman skuad kebangsaan, Fazilla Sylvester Silin enam minit sebelum pengawai teknikal menamatkan perlawanan tersebut pada minit ke-33 kerana hujan lebat.

Dua lagi perlawanan sebentar tadi menyaksikan kelab jemputan dari China, Liaoning Infinite Space berpesta gol membelasah KL Wipers 6-1 manakala Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail menang tipis 2-1 ke atas PSHA-MSSPP. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×