Hina sultan, Perkasa Sungai Petani buat laporan polis - Utusan Malaysia

Hina sultan, Perkasa Sungai Petani buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 12 Jan. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Parlimen Sungai Petani hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, Desmond Yongkor kerana menghina sultan-sultan dalam isu penggiliran Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.

Menurut beliau, pihak Perkasa Parlimen Sungai Petani membuat laporan itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini.

Pengerusinya, Azrol Mansor berkata, kenyataan individu berkenaan adalah biadab yang sekali gus telah mengundang kemarahan seluruh rakyat di negara ini.

Beliau sehubungan itu mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Perkasa Sungai Petani mahu tiada lagi mana-mana pihak mengulangi perbuatan seperti itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Azrol menegaskan bahawa Perkasa Sungai Petani akan terus mendaulatkan institusi raja-raja Melayu kerana institusi itu penting dalam menjamin kestabilan negara.

“Prinsip kedua Rukun Negara turut meletakkan Raja perlu ditaati dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara yang sudah pun termaktub dalam perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Sebelum ini, polis turut menahan pemilik akaun Facebook, Eric Liew Chee Ling, 45, selain pemilik akaun Twitter, Azham Akhtar Abdullah, 26, dan Nur Alia Astaman, 25, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1984 kerana memuat naik komen berunsur hinaan dalam media sosial terhadap Sultan Muhammad V. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×