JERANTUT 3 Jan. – Di sebalik senyuman Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri, 18, tiada siapa menyangka gadis yang mencuri tumpuan ramai gara-gara alamat pelik yang tertera pada bungkusan barang pesanannya sebenarnya menghidap leukemia.
Gadis dari Kampung Jerantut Feri itu sebelum ini menjadi tumpuan apabila bungkusan yang tertera alamat ‘Masuk Ke Dalam Sikit, Rumah Saya Kat Belakang Warna Kuning, Jerantut, Pahang’ tular dalam media sosial.
Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, dia mencari sumber pendapatan menjual kek coklat secara dalam talian bagi menampung kos perubatannya.
“Saya menerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nur Rabiatul Adawiyyah berkata, kisahnya yang tular dalam media sosial mempunyai hikmah tersendiri apabila orang ramai yang turut mengetahui dia menghidap leukemia tampil menghulurkan sumbangan.
“Saya menerima banyak panggilan telefon dan pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp daripada individu yang bersimpati. Ada juga yang terus meminta nombor akaun kerana ingin memberi sumbangan bagi meringankan bebanan saya menanggung kos perubatan,” katanya.
Sementara itu, gadis berkenaan memberitahu dia meminati bidang muzik yang menjadi pendorong kepadanya untuk mengubati kesunyian.
“Saya menerima hadiah gitar daripada penyanyi, Najwa Latif pada 2015 ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Saya sangat meminati lagu-lagu Najwa dan belajar bermain gitar melalui Youtube serta berharap dapat menbuat persembahan di hadapan pesakit lain bersama Najwa,” katanya.










