‘Henti sebar berita palsu bayi saya mati didera’ - Utusan Malaysia

‘Henti sebar berita palsu bayi saya mati didera’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 17 Jan. – Seorang bapa meminta warganet berhenti berkongsi berita palsu yang tular kononnya bayinya berusia empat bulan yang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini Selasa lalu berpunca akibat didera secara seksual.

Raja Saiful Azhar Raja Salleh, 35, berkata, hasil bedah siasat Jabatan Forensik HRPZ II mengesahkan bayinya, Raja Zaura Delisha Saiful Azhar meninggal akibat komplikasi usus.

Tambahnya, mereka sekeluarga berasa sungguh kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengaitkan kematian anaknya dengan penderaan seksual.

“Raja Zaura Delisha meninggal dunia pada pukul 8.40 malam Selasa lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan dibawa ke jabatan forensik untuk bedah siasat.

“Sebelum itu, kira-kira pukul 4.30 petang Isnin, saya dan isteri dihubungi pengasuh memaklumkan bayi kami tidak sedarkan diri. Kami bergegas pulang dan terus membawanya ke HUSM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Raja Saiful Azhar, sebaik sahaja tiba di hospital, doktor berusaha menyelamatkan Zaura Delisha namun selepas bertarung nyawa selama beberapa jam, anaknya itu akhirnya disahkan meninggal dunia.

Katanya, berita penderaan seksual itu mungkin timbul apabila pakar kanak-kanak yang membuat pemeriksaan melihat ada kesan luka di duburnya dan susulan itu, pihak hospital telah membuat laporan polis kerana bimbang ada unsur jenayah.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian anak saya adalah berpunca daripada komplikasi usus yang sudah ada sejak lahir namun sebelum ini kesihatan anak saya baik dan tidak menunjukkan sebarang masalah.

“Difahamkan berita palsu itu tersebar ketika bedah siasat belum pun dibuat. Saya tegaskan kematian anak saya tiada kaitan dengan penderaan seksual oleh pengasuh atau sesiapa sahaja. Berita palsu ini menjatuhkan imej pengasuh sedangkan mereka amat baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika mengesahkan kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita tanpa fakta sebenar sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN