PARIS 26 Jan. – Thierry Henry mengakui sangat sedih selepas dipecat selaku pengendali Monaco selepas hanya tiga bulan, tetapi berharap, penggantinya Leonardo Jardim mampu mengangkat semula pasukan itu.
Henry direhatkan, kelmarin dan dipecat, semalam dengan pasukannya kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga 1 selepas hanya meraih 15 mata.
Jurulatih Portugal, Jardim menandatangani perjanjian baharu hingga Jun 2021 dan akan mula mengambil alih pasukan itu buat kali kedua selepas dipecat, Oktober lalu bagi aksi Piala Liga bertemu Guingamp, Selasa ini
“Ia memang amat menyedihkan kerana saya terpaksa berpisah dengan Monaco. Walaupun kami bergelut dan berdepan kesukaran sepanjang tempoh singkat saya di sini, saya masih menikmati saat saya di kelab yang hebat ini,” kata Henry dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya.
Henry menggantikan Jardim Oktober lalu, namun ketua eksekutif Monaco, Vadim Vasilyev berkata, mereka melakukan kesilapan besar apabila memecat pengendali dari Portugal itu yang membantu mereka memenangi gelaran liga 2017, selain, mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada kempen sama.
“Hari ini, kami sedar kisah Leonardo Jardim di kelab ini tidak berakhir dengan cara sepatutnya. Leonardo seharusnya perlu diberi peluang untuk meneruskan tanggungjawab,” kata Vasilyev.
Pada masa sama, Henry mengucapkan selamat maju jaya kepada Jardim dengan berkata: “Saya harap pengganti saya akan membawa Monaco ke satu tahap terbaik.” – AFP










