Hassan terima semula jawatan Pengerusi PKR Johor - Utusan Malaysia

Hassan terima semula jawatan Pengerusi PKR Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 1 Jan. – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menerima semula jawatan Pengerusi PKR Johor selepas menolaknya pada 14 Disember lalu.

Keputusan menerima semula jawatan tersebut selepas mendapat undi majoriti dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan pada 28 Disember lalu.

Pada mulanya beliau dijemput hadir mesyuarat ke MPP itu, namun tidak memberi kata putus sama ada menolak atau menerima semula jawatan Pengerusi PKR Johor.

“Saya hadir mesyuarat itu sebab saya hendak lihat adakah saya terima undi majoriti. Kalau tidak dapat undi majoriti, saya akan kekal dengan keputusan saya tidak terima jawatan Pengerusi PKR Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Cabang PKR Pontian di Plaza Harta, Medan Koop di sini semalam.

Dalam satu kenyataan pada 17 Disember lalu, Hassan menolak dan tidak mahu menerima pelantikannya itu yang dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi kenyataan itu Hassan berterima kasih atas kepercayaan Anwar kepadanya, namun membuat keputusan untuk menolak pelantikan berkenaan berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, keputusan itu dibuat bukan kerana Anwar tetapi disebabkan keyakinan terhadap sokongan majoriti yang memihak kepadanya dalam mesyuarat MPP itu.

Selepas menolak pelantikan sebagai Pengerusi PKR Johor yang diterimanya pada 14 Disember lalu, beliau dihubungi beberapa pemimpin parti termasuk Anwar sendiri yang meminta agar keputusannya itu dipertimbangkan semula.

“Pemilihan saya sebagai Pengerusi PKR Johor ketika itu ada yang mempertikaikannya, ada yang mendakwa Anwar lantik kroni dia iaitu Hassan Karim.

“Saya juga dimaklumkan, saya bukan pada pihak yang menang undi majoriti. Ada yang cakap saya dapat minoriti undi. Jadi mana satu betulnya? Jadi saya ambil keputusan menolak lantikan sebagai Pengerusi PKR Johor (pada masa itu),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN